Klip video kaitkan latihan komando ATM keterlaluan [Berita Harian]
Perbuatan yang disifatkan melanggar tatasusila dan menjatuhkan maruah individu itu didedahkan sekumpulan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi klip video dua minit yang diketuai Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang).
Klip video itu turut ditontonkan kepada wakil media di lobi Parlimen, hari ini.
Saifuddin berkata, sebaik menerima klip video yang disertakan dengan nota: 'Latihan Asas Komando' minggu lalu, beliau membuat semakan dengan beberapa bekas anggota komando ATM dan mereka mengesahkan ia adalah sesi latihan komando berdasarkan pakaian seragam yang dipakai jurulatih.
"Bagaimanapun, mereka mengesahkan sepanjang pengetahuan mereka, tiada modul latihan yang menetapkan jurulatih perlu memijak kepala pelatih dengan kerap.
"Justeru, kami meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan adakah tindakan keterlaluan ini adalah modul biasa latihan..dan jika menteri sudah tahu adakah tindakan sudah diambil mengenainya.
"Kita tidak mahu imej dan kewibawaan angkatan tentera kita tercalar pada mata rakyat apabila klip video ini tersebar kerana kita pasti, tiada rakyat Malaysia yang menghantar anak mereka untuk menjadi anggota tentera mahu maruah mereka dihina sebegitu rupa," katanya pada sidang media itu tetapi tidak mendedahkan identiti pengirim klip video itu.
Hadir sama Ketua Penerangan PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Loh Gwo Burne (PKR-Kelana Jaya).
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau sudah membangkitkan isu itu kelmarin ketika Najib menggulung perbahasan mengenai kementeriannya, tetapi tidak mendapat maklum balas yang diharapkan.
Posted 05/15/08 by bihunx | Filed under: Hal Ehwal Semasa



Comments
Add Comment